Pendahuluan
Kemakmuran sesebuah negara adalah bergantung sejauhmana kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Hubungannya yang erat adalah antara ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangun dan memajukan negara baik ketika senang mahupun susah.
Menyedari akan hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan erat di kalangan masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja malahan melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya.
Mengapa Kita perlu Berjiran
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajibanmengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah. Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki'.
(An-Nisaa’ : 36)
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat maka tidak dapat tidak kita perlulah terlebih dahulu menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Antaranya:
Bantuan Ketika Kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain lagi. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran yang dapat mlahirkan suasana seperti ini.
Menambah Kenalan
Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang bermaksud:
'Wahai manuisa, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa
-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali'.
(Al-Hujurat : 13)
Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jiran berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang peguam atau majistret, membaiki kerosakan pada rumah dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya. Ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, gubahan, masakan, komputer dan lain-lain lagi.
Menjamin Keselamatan Setempat
Jiran yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud:
'Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'.
(Al-Maidah : 2)
Menjaga Keharmonian Masyarakat
Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera anak, lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib setiapkali menyedari berlaku perkar-perkara yang ganjil dan meragukan.
Apakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke atas ahli keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi bak kata pepatah Melayu 'Sediakan payung sebelum hujan'. Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan.
Menjaga Kebajikan Penduduk Setempat
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Bagi memenuhi hasrat ini maka pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti Jawatankuasa Kemajuan Pembelajaran Anak-Anak. Jawatankuasa ini berperanan menilai pencapaian pelajaran anak-anak, mengenalpasti kelemahan dan masalah serta mengadakan program-program yang dapat meningkatkan mutu pelajaran mereka.
Di samping itu juga, menerusi penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Insan Remaja maka pelbagai aktiviti dapat disusun bagi memenuhi keperluan dan kebajikan golongan remaja seperti kem motivasi, program jatidiri dan sebagainya. Kesemuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat baik anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara. Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini adalah terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'…dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka...'
(Al-Syura : 38)
Integrasi Nasional
Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.
Tuntutan supaya mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
'Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku'.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Pedoman Berjiran
Satu realiti kehidupan pada hari ini ialah kita dikelilingi oleh manusia yang mempunyai pelbagai citarasa, pandangan, minat, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa dan budaya yang berlainan dan berbeza-neza. Jenis dan ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki hati yang suci bersih dan luhur menyebabkan usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran menghadapi sedikit kesulitan dan kerumitan.
Walau bagaiamanpun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Di samping itu, sikap-sikap yang negatif seperti berburuk sangka, irihati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan.
Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Pelbagai pendekatan dan amalan boleh dibuat bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya,
Bertegur Sapa
Amalan bertegur sapa sesama jiran adalah titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.
Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.
Kunjung-Mengunjung
Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya. Ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat.
Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu tidak menganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu.
Menghulurkan Bantuan
Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengenepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat.
Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik sekalipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita.
Bergotong-Royong
Aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, balairaya, longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.
Aktiviti bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk setempat kepada satu tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihaar alam sekitar, membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini dihidupkan bagi menjana satu masyarakat yang bersatupadu dan hidup harmoni sesama mereka.
Perkelahan Keluarga
Mengadakan program perkelahan keluarga adalah amalan terbaik dalam menjalinkan kemesraan penduduk setempat. Seharusnya kita memanfaatkan sebaik mungkin destinasi-destinasi pelancongan yang banyak terdapat di negara kita bagi menjayakan program ini seperti Batu Layar di Kota Tinggi, Johor, Pantai Kundur di Melaka, Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang dan sebagainya.
Banyak acara dan permainan yang boleh dijalankan dalam mengisi program perkelahan keluarga ini sama ada untuk dewasa, kanak-kanak atau keluarga seperti berebut kerusi, mencari barang, mencari harta karun, tarik tali, tiup belon dan sebagainya. Siapa sangka keseronokan yang dirasai secara tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan kejiranan!
Banyak lagi amalan yang boleh dilakukan bagi menguatkan hubungan kejiranan seperti bertukar-tukar juadah atau kuih-muih, mengadakan kelas kemahiran seperti jahitan dan sulaman, mengadakan progran lawatan sambil belajar, mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Apa yang penting ialah adanya kesungguhan dari dalam diri setiap daripada kita dalam mengorak langkah bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan dan seterusnya membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan.
Kesimpulan
Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.
No comments:
Post a Comment