Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, June 11, 2009

Perihal Makan & Minum

Assalamualaikum wr wb
Dengan Nama Allah Yang maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,

MAKAN dan minum adalah fitrah semula jadi manusia. Sejak di alam janin, seterusnya saat mula mengenal dunia, sehinggalah ke penghujung usianya, rantaian hidup manusia tidak pernah terpisah daripada makan dan minum.

Tetapi sekiranya terkurang atau terlebih ia akan mengundang penyakit, malah apabila tersalah makan dan minum akan mengakibatkan diri merana.

Oleh itu, Islam melihat makan dan minum adalah suatu aspek yang sangat penting dan harus diberikan perhatian sepanjang waktu supaya yang dimakan dan diminum memberikan kesihatan, bukannya penyakit.

"Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata." (Al-Quran, surah al-Baqarah: ayat 168)

Ayat di atas bersifat perintah terhadap manusia supaya memakan hanya yang halal iaitu makanan yang menepati syarak. Ia juga sebagai satu panduan kepada umat Islam dalam menilai serta memilih makanan dan minuman.

Kepentingan makanan halal dan baik itu disebut Allah di dalam al-Quran lebih 1,400 tahun lampau, menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna.

Imam Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, mentafsirkan makanan yang baik sebagai yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal.

Dalam Islam, makan dan minum bukan hanya semata-mata bersifat tabiat, bahkan ia sebagai ibadat. Makanan yang halal diredai Allah dan mendapat ganjaran, manakala makanan haram dimurkai dan menjejaskan hubungannya dengan Allah.

Nabi s.a.w menjelaskan: "Seorang lelaki musafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada Allah, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi)


Daripada peristiwa di atas, dapatlah kita fahami, dengan makanan halal ibadat seseorang akan diterima Allah, sedangkan makanan haram menyebabkan ibadat jadi rosak, malah doanya tidak diperkenankan dan diri dekat dengan azab.

At-Tirmizi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w, bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram, api nerakalah yang lebih utama baginya." Sahabat, Abdullah bin Abbas pula berkata: "Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram."

Sekiranya makanan halal disukai Allah, usaha untuk mendapatkannya juga dirahmati dan diberkati. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: "Sesiapa berusaha untuk keluarganya daripada harta yang halal, dia berkedudukan seperti seorang yang berjihad pada jalan Allah."

Di negara berbilang kaum dan agama, seperti Malaysia, masyarakat Islam sewajarnya lebih prihatin dengan aspek ini, bahkan memikul tanggungjawab untuk menyebarluaskan konsep pemakanan halal lagi bermutu ini.

Makanan yang haram tidak hanya daripada babi atau anjing dan haiwan mati yang tidak disembelih (bangkai), malah ada lagi beberapa jenis haiwan yang diharamkan seperti haiwan liar bertaring dan burung berkuku mencengkam.

Ini sesuai dengan pesanan Nabi Muhammad s.a.w seperti dilaporkan al-Bukhari, yang melarang (umat Islam) memakan semua haiwan buas yang bertaring dan burung yang memiliki kuku yang mencengkam.

Bukan semua jenis minuman halal, bahkan sesetengahnya diharamkan, seperti arak dan darah. Dalam al-Quran, pada ayat 173 surah al-Baqarah, Allah mengharamkan darah, manakala pada ayat 90 surah al-Maidah turut dijelaskan mengenai arak.

Dalam sesetengah kes pula ada bahan makanan dan minuman yang asalnya harus, tetapi apabila disalah guna, ia menjadi haram. Contoh paling ketara ialah dadah dan ubat batuk, sepatutnya bagi tujuan perubatan, tetapi disalah guna menjadi haram.

Majlis Fatwa Kebangsaan (1982) menjelaskan, sebarang penyalahgunaan termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya haram.

"Dadah hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan yang sah mengikut syarak."

Sheikh Yusuf al-Qardawi, dalam kitab Halal dan Haram dalam Islam, berkata: "Hukum berkenaan haramnya narkotik disepakati oleh kalangan ahli fiqah dan ia dikenali sebelum ini sebagai al-khabaith (suatu bahan yang keji)."

Begitupun, dalam persoalan halal haram makanan dan minuman, beberapa konsep perlu diberikan perhatian:

* Punca makanan seperti daging yang digunakan. Konsep haiwan yang haram dimakan dalam Islam seperti haiwan bertaring serta hidup dua alam dan haiwan yang jijik seperti cicak.

* Kaedah penyembelihan haiwan yang menepati syarak. Lebih menakutkan sekiranya orang bukan Islam menyembelih haiwan yang dijual dipasaran terbuka, sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam, penyembelih mesti orang Islam.
• Cara pengurusan dan pemprosesan makanan mesti terhindar daripada najis dan tidak bercampur dengan bahan haram di sisi Islam, termasuk dari segi pengangkutan tidak bercampur dengan bahan makanan yang haram.
• Ramuan dalam makanan dipastikan suci, misalnya tidak mengandungi alkohol dan minyak daripada lemak babi.
• Peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses makanan, seperti kuali, periuk dan pisau, tidak pernah digunakan untuk memasak makanan yang haram mengikut syariat Islam.
• Persekitaran yang bersih, terutama di bahagian dapur.
• Sumber untuk mendapatkan makanan juga mestilah halal. Sekiranya makanan dibeli hasil daripada wang rasuah, peras ugut, rompakan dan curi, ia tidak bertepatan dengan konsep halal dalam Islam.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 172, menegaskan: "Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya."

wassalam.

Monday, June 1, 2009

Kesan Dosa Dalam Kehidupan

Assalamualaikum wr wb
Petikan karya : Ibnu Qayyim Al Jauziah

Hati adalah kerajaan di dalam tubuh manusia. Hati bisa menguasi akal, hati juga bisa menjadi tapak semaian nafsu. Mendidik hati adalah 'keutamaan yang sangat besar (1st priority)', agar hati bisa tunduk dan patuh kepada pencipta alam dan pemilik seluruh hati.

Kesan dosa yang boleh merosakkan hati sekali gus membinasakan peribadi seorang muslim yang menakung sejumlah dosa dan maksiat. Manusia kurang waspada terhadap gejala yang merosakkan kesempurnaan hati. Justeru, pendedahan satu persatu wabak yang akan melanda sebuah wilayah yang terhimpun di lubuknya mutiara iman dan takwa adalah sangat perlu (essential).

Rasional mesej ini adalah sangat jelas. Setiap manusia dibekalkan sekeping hati yang muluk dan khalis. Ia mesti dijaga, dirapi, dipantau, dan tahan uji. Lantaran hati adalah ekspresi peribadi dan akal manusia. Segala tindak tanduk nya mengambarkan rupa paras hati. Keiklasan menekuni ibadah terhantar melalui kejernihan hati. Lantaran itu jika manusia lalai, melazami maksiat dan dosa, wilayah hatinya akan diserang wabak, peribadi manusia semakin bejat sehingga tergamak mencabar kudrat Allah swt sebagai pencipta (Khalid), melupakan berita datangnya kiamat dan melecehkan seruan nabi Muhammad saw.

Bahawa sesungguhnya dosa menjadi penyebab berkurangnya fungsi dan kekuatan akal. Usah meremehkan dosa sekalipun kecil dari pengamatan manusia yang dangkal. Kerana dosa umpama debu yang bertebangan menjadi gunung agam, keras dan membatu.

Setiap dosa yang dilakukan sama ada sedar mahupun tidak, hendaklah diiringi taubat nasuha sebelum hati menjadi keras dan sukar dilentur.

Akibat berdosa ;
1. Membutakan hati
2. Jatuhnya Martabat dan Kedudukan
3. Berkurangnya Fungsi Akal
4. Terputus Ikatan Hamba dengan Allah swt
5. Diri sendiri dikhianati
6. Hilang Nikmat
7. Turunnya Bala

Allah swt dalam firman nya (mafhumnya) : ' Mahukah, aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan - syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap - tiap pendusta yang berdosa. Yang mendengar bersungguh - sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan itu), sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta ' (Surah asy -syu'araa, ayat 221 - 223)

Sabda RAW (Riwayat Bukhari)
Ingatlah dalam setiap jasad itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah jasad itu keseluruhannya, apabila daging itu rosak, maka rosaklah jasad itu keseluruhannya. Ingatlah, daging itu ialah HATI.

wassalam
hj manj

Perihal Sabar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang

SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.


Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:


1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
• Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
• Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
• Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.

salam hurmat
hj manj